Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hal ini kerana kritikan terhadap kepemimpinan negara sering terpampang di dada akhbar hampir setiap hari sama ada dilakukan oleh pihak pembangkang atau kerajaan sendiri.

“Ada kala pembangkang mengkritik menteri dan ada juga menteri mengkritik menteri lain. Kadang-kala bekas menteri atau bekas Perdana Menteri mengkritik pembangkang kerana tidak begitu kritikal.

“Apa yang boleh saya katakan kritikan di negara ini sudah begitu banyak, dan jika anda melihat di media sosial ia bagaikan di alam rimba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Malam Gala Anugerah Media Asia Ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Baharu dan Akhbar Dunia (WAN-IFRA) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Presiden WAN-IFRA World Editors Forum, Marcelo Rech; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Timbalan Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kebebasan bersuara di Malaysia pada hakikatnya kini semakin berkembang berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Katanya, rakyat dilihat semakin terbuka ketika menggunakan hak mereka untuk bersuara.

Namun, ujar beliau, kebebasan itu bagaimanapun perlu seiring dengan tanggungjawab iaitu memastikan setiap berita yang disebarkan sahih dan tidak berbentuk palsu.

“Kita tidak terkecuali dengan masalah berita palsu di mana ada bekas pemimpin mengatakan bahawa Malaysia akan bankrap dan ada sesetengah pihak mengatakan Malaysia dalam bahaya untuk menjadi negara gagal.

“Namun, lihatlah sekitar anda, hotel kelas pertama yang mana hari ini kita berkumpul di tengah-tengah kawasan pembangunan pesat iaitu KL Sentral,” jelas Perdana Menteri.