DR. FATHUL BARI MAT JAHYA
DR. FATHUL BARI MAT JAHYA

Malah kata Fathul Bari, hanya disebabkan ingin meraikan puak-puak liberal di negara ini, Zainuddin sanggup mencadangkan perkara yang boleh menyebabkan hati umat Islam terguris.

Katanya, adakah tindakan bijak mencadangkan pusat tahfiz ditutup hanya disebabkan beberapa isu sebelum ini.

“Apa rasional dia (Zainuddin) cadangkan untuk tutup pusat tahfiz. Adalah dia tahu dan teliti silibus-silibus yang terdapat di pusat tahfiz ini. Apa dia buat selama ini sebagai bekas menteri memandangkan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pusat tahfiz sudah ada.

“Sebelum ini, kerajaan terdahulu sudah memperkenalkan dasar tahfiz negara bagi memperkasakan sekolah tersebut. Sepatutnya pusat tahfiz ini diperkasakan lagi bukannya mencadangkan supaya ditutup.

“Jangan sebab hendak meraikan puak-puak liberal sampai tidak menjaga sensitiviti umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menerusi catatan dalam blognya semalam, Zainuddin mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa agar semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Zainuddin juga mahu Mujahid mencegah sekolah agama menjadikan ‘pakaian Arab’ sebagai pakaian seragam.

Tambah Fathul Bari, Zainuddin sepatutnya memberi cadangan kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya menutup sekolah vernakular bukannya pusat tahfiz.

“Sekolah vernakular menyebabkan kaum-kaum berpecah, sepatutnya semua sekolah dijadikan satu aliran sahaja,” katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar.- UTUSAN ONLINE