KUALA LUMPUR 09 NOVEMBER 2017 -Wawancara dengan Tan Sri Noh Omar.Menteri Kesejanteraan Bandar ,Perumahan dan kesehteraan Bandar.Gambar: Ghazali Basri/Pemberita: Abd Hadi Supliment

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, penganjuran HKSK 2017 bertujuan menggalakkan amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle dan pengasingan sisa pepe­jal demi kelestarian alam dalam kalangan masyarakat negara ini.

Beliau berkata, penganjuran HKSK oleh kementerian ini me­lalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bertemakan #PeluangKedua pada tahun ini diharap mampu menyedarkan orang ramai bahawa masih tidak terlewat untuk memulakan amalan 3R dalam kehidupan seharian.

“Hari Kitar Semula Kebangsaan disambut setiap tahun sebagai salah satu usaha mempromosikan amalan 3R untuk meningkatkan kadar kitar semula negara.

“Pada ketika ini peratusan kitar semula negara berada pada tahap 21 peratus berbanding lima peratus pada 2005. Kerajaan menyasarkan jumlah itu mening­kat kepada 30 peratus menjelang 2020,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Majlis sambutan HKSK yang bermula daripada pukul 7.30 pagi hingga 5 petang di Anjung Floria, Putrajaya pada 18 November akan disempurnakan oleh Menteri KPKT.

Menurut Noh, selain membu­ka mata masyarakat terhadap ke­pentingan amalan kitar semula, program tersebut akan memberi pendedahan mengenai pelbagai manfaat yang boleh diperolehi daripada bahan-bahan terbuang khususnya yang mampu menjana pendapatan.

“Melalui usaha ini kita mahu setiap rakyat Malaysia terlibat dalam membudayakan amalan 3R yang merupakan langkah paling berkesan dalam menguruskan sisa pepejal yang bermula dari rumah.

“Selain melakukan penga­si­ngan bahan, kita juga perlu mengenal pasti bahan-bahan terbuang yang mempunyai nilai jualan semula atau untuk penghasilan barang lain seperti kraftangan,’’ katanya.

Bagaimanapun katanya, kesedaran orang ramai untuk memanfaatkan bahan-bahan terbuang perlu dipupuk dan dibangunkan melalui pendedahan secara berterusan.

“Penganjuran HKSK 2017 di­harap menjadi platform untuk kerajaan dan orang ramai mengembangkan potensi bahan kitar semula seperti yang diamalkan di negara-negara maju.

“Salah satu cadangan yang saya rasa boleh dipertimbangkan oleh SWCorp adalah membuka kedai cenderahati produk-produk yang dihasilkan daripada bahan kitar semula,’’ ujar beliau.

Mengulas mengenai cabaran amalan 3R di negara ini, Noh berkata, tahap kesedaran ma­syarakat perlu terus dipertingkatkan untuk menimbulkan ke­sedaran dalam diri setiap rakyat dan tidak terlalu bergantung ke­­pada kerajaan untuk me­lak­sanakan kempen itu.

Menyedari hakikat itu kata­nya, kerajaan melalui agensi se­perti SWCorp misalnya berusaha menerapkan kesedaran amalan kitar semula di peringkat sekolah dan tadika dengan harapan dapat mengubah mentaliti masyarakat pada masa akan datang.

Selain itu katanya, kerajaan juga menggesa syarikat-syarikat swasta dan badan korporat di negara ini menyahut seruan amalan kitar semula dalam amalan dan budaya tempat kerja.

“Sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat tempatan dan antarabangsa yang telah melaksanakan amalan kitar semula terbaik, SWCorp menyediakan anugerah khas sempena HKSK 2017 di Putrajaya tahun ini,’’ katanya.

Dalam pada itu katanya, SWCorp menjemput orang ramai menderma untuk tabung pela­rian Rohingya melalui hasil jualan bahan-bahan kitar semula pa­da HKSK 2017.

“Sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kita membuka peluang kepada orang ramai untuk menjual barangan kitar semula yang mana hasilnya akan didermakan kepada Tabung Kemanuasian Rohingya Negaraku Prihatin,’’ katanya.

Pelbagai acara disediakan oleh SWCorp pada sambutan tahun ini seperti pertandingan reka cipta barangan kitar semula, senam robik, pertandingan fotografi, pertandi­ngan mencari harta karun, bengkel kitar semula untuk dewasa dan kanak-kanak, bengkel upcycling, car boot sale, cabutan bertuah, gerai pameran pelbagai agensi kerajaan, persembahan muzik dan kebudayaan.