Sempena majlis tersebut, turut diadakan acara perbarisan dan penyerahan Jalur Gemilang kepada agensi-agensi kerajaan yang dihadiri seluruh kepemimpinan Kerajaan Pas Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mat.

Majlis itu juga dihadiri kira-kira 10,000 orang dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk tempatan.

Sementara itu, Ahmad ketika berucap pada majlis tersebut meminta rakyat di negeri ini  mengibarkan jalur gemilang di semua kenderaan dan premis sepanjang bulan Ogos hingga 16 September ini.

Beliau berkata, langkah itu untuk membangkitkan semangat dan penghayatan mencintai nilai kedaulatan negara.

“Kerajaan negeri peka terhadap keperluan membangkitkan semangat rakyat untuk menghargai nilai kemerdekaan negara menerusi pelancaran program pada pagi ini.

“Kita akan mengadakan solat hajat memohon keamanan dan kesejahteraan negara di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada 30 Ogos, perbarisan lengkap di padang Merdeka, Kota Bharu pada 31 Ogos dan berakhir pada 16 September merayakan Hari Malaysia.

“Saya pohon semua pejabat kerajaan, premis perniagaan dan kediaman termasuk kenderaan dikibarkan panji keramat Jalur Gemilang dengan bersyukur bukan sahaja bebas dari penjajahan fizikal tetapi tidak dijajah minda,” katanya.

Tambahnya, Kelantan akan seiring dengan negeri-negeri lain menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dalam konteks Sehati Sejiwa bersama tuntutan Islam. - UTUSAN ONLINE