Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk menghentikan sepenuhnya usaha pencarian pesawat tersebut.

“Kalau ada bukti-bukti kukuh dan penemuan yang meyakinkan bahawa kita dapat mengesan pesawat itu, kerajaan akan mempertimbangkan usaha untuk memulakan kembali misi pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.-UTUSAN ONLINE