Presidennya, Datuk Abdul Malek Yusof berkata, langkah yang lebih sesuai diambil ialah menggunakan hubungan akrab dengan negara-negara jiran sebagai kunci untuk mengadakan mesyuarat di peringkat ASEAN bagi menangani masalah jerebu yang semakin me­runcing saban tahun.

Katanya, satu dasar baharu perlu digubal di peringkat Malaysia dan dibentangkan di peringkat ASEAN bagi mencari jalan keluar kepada masalah yang menghantui negara-negara di rantau ini.

“Saban tahun, Malaysia ber­depan dengan masalah jerebu sehingga mampu membahayakan kesihatan orang ramai berikutan tindakan mementingkan diri oleh syarikat-syarikat Indonesia.

“Satu pelan strategik serta berkesan perlu dirancang terutama apabila perkara ini bukan sahaja melibatkan Malaysia sebaliknya negara-negara lain turut menerima tempias yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak supaya Malaysia mengikut jejak langkah Singapura me­nyaman syarikat-syarikat Indonesia yang melakukan pembakaran terbuka di kawasan pertanian dan hutan di negara itu.

Mengulas lanjut, Abdul Malek berkata, masalah jerebu tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua pihak kerana isu tersebut boleh mengundang pelbagai masalah terutama kesihatan.

Malah katanya, proses pembenihan awan juga turut membawa kesan negatif dan dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan yang terlibat.

“Apa yang penting ialah tindakan segera untuk tangani masalah ini. Kita perlu menggunakan kepakaran yang ada untuk membangunkan teknologi yang mampu membantu kita menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (Cetdem), Gurmit Singh berkata, pembakaran terbuka di Indonesia sehingga menyebabkan masalah jerebu bukan perkara baharu namun tiada pelan terbaik setakat ini yang dirancang untuk menangani isu tersebut.

Menurutnya, kerajaan boleh bertegas dengan Indonesia namun tindakan menyaman syarikat-syarikat di negara tersebut dilihat tidak begitu praktikal dan boleh membawa kepada perselisihan.

“Jerebu ini boleh menyebabkan pelbagai masalah khususnya menjejaskan kesihatan kita. Orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

“Malah, penggunaan pengangkutan di jalan raya seperti kereta juga perlu dikurangkan supaya jerebu ti­dak bertambah buruk,” katanya.