Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai dangkal, Ketua Penerangannya, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq turut menilai Ramasamy tidak berpegang kepada prinsip pemuafakatan di dalam Pakatan Harapan (PH).

Kata beliau, sebagai seorang ahli politik berpengalaman dalam perjuangan menegakkan keadilan kepada rakyat, Ramasamy seharusnya lebih memahami perjuangan Bersatu di dalam PH.

Ujarnya, Bersatu bersama-sama parti komponen lain di dalam PH berusaha memulihkan kembali semangat perpaduan rakyat setelah dasar dasar kerajaan dahulu banyak memberi kesan negatif kepada kaum dan agama.

“Perjuangan Bersatu adalah untuk kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia amnya dan Melayu khususnya.

“Keputusan menyokong kuota Matrikulasi 90:10 bukan bermaksud dasar Bersatu seperti UMNO, tetapi kita percaya dan yakin orang Melayu masih memerlukan bantuan kerajaan demi pencapaian mereka di dalam pelajaran dan bidang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dilaporkan menyifatkan sokongan Bersatu kepada pengekalan kuota 90:10 bagi penempatan pelajar bumiputera di program matrikulasi mencerminkan pendirian parti itu yang tidak ubah seperti UMNO yang mengamalkan perjuangan politik perkauman melampau selama ini.

Dalam pada itu, Khaliq Mehtab turut mengingatkan Ramasamy supaya lebih sensitif dan peka dengan kenyataannya yang mengguris hati pemimpin Bersatu sekali gus wajar menarik balik kenyataan tersebut.

“Apakah Ramasamy lupa Bersatu adalah sebahagian daripada PH dalam menumbangkan kerajaan kleptokrasi pada PRU-14 lalu?” katanya. - UTUSAN ONLINE