Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, CSR itu boleh disumbangkan ke dalam agenda pembangunan pendidikan, perumahan dan kesihatan yang ada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkasakan benteng pertahanan negara itu.

Tegas beliau, syarikat-syarikat itu masih boleh menjana keuntungan, namun zaman ‘buat duit’ atau mengambil untung yang terlalu tinggi melalui produk pertahanan telah berakhir.

“Dulu orang melihat ada yang membuat duit melebihi keuntu­ngan sepatutnya, ini semua sudah berakhir, saya mahu duit itu di­salurkan kembali kepada anggota keselamatan.

“Sebagai contoh, membina sebuah pusat dialisis bukan mahal sangat pun kepada syarikat-syarikat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dengan anggota ATM di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Radzi; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Medan Timur, Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Berucap dalam majlis itu, Hi­shammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, sebagai barisan hadapan benteng pertahanan negara, ATM sentiasa bersiap siaga menjaga kedaulatan Sabah daripada sebarang ancaman seperti ketika Op Daulat pada 2013.

Justeru katanya, kebajikan setiap anggota ATM perlu sentiasa dijaga dan kerajaan mempunyai perancangan menyeluruh bukan sahaja dalam soal penambahan aset di Sabah tetapi turut merancang membina sebanyak 41,000 unit rumah di seluruh negara kepada mereka.

“Sekarang saya sedang fokus kepada kebajikan anggota, anak-anak kita supaya apabila setiap anggota ditugaskan di medan mereka tidak perlu bimbang tentang pendidikan anak-anak di rumah, mereka tidak perlu risau soal kesihatan,” jelasnya.