ADLY ZAHARI
ADLY ZAHARI

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya menganggap SPRM berhak melaksanakan tugas mereka untuk melakukan siasatan terhadap mana-mana laporan yang dibuat tanpa mengira kedudukan atau pegangan politik individu berkenaan.

Menurutnya, isu integriti adalah asas utama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri malah perkara tersebut sering diberikan penekanan oleh beliau setiap kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri lain.

“Siasatan SPRM itu bagi saya bukan sesuatu yang pelik. Saya sendiri sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pegawai agensi itu (SPRM) bagi menunjukkan ketelusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu salah guna kuasa atau rasuah.

“Bagi saya isu ini tidak memberikan kesan terhadap kerajaan negeri PH malah kita alu-alukan SPRM untuk menyiasat kerana itu adalah tugas mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program pemimpin bersama rakyat anjuran Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka di Hotel Avillion Legacy di sini sebentar tadi.

Beliau ditanya mengenai dakwaan seorang Exco kerajaan negeri yang kini disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan nilai sebanyak kira-kira RM2.6 juta.

Dipercayai wang tersebut merupakan jumlah imbuhan yang diminta daripada sebuah syarikat pembangunan di negeri ini berkaitan dengan kerajaan negeri.

SPRM dipercayai telah menjalankan siasatan termasuk memeriksa pejabat pemimpin terbabit namun setakat ini belum ada pengesahan dibuat oleh ibu pejabat agensi itu. - UTUSAN ONLINE