Roshasniza Tuan Anuar Zani, 30, yang tinggal di Kampung Padang Raja, Melor menegaskan, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan pihak yang menularkan perkara tersebut sebenarnya salah faham dan bertindak terburu-buru menyebarkannya di media sosial.

Katanya, angkara khabar palsu itu, dia terkilan apabila dianggap cuai dan lebih malang, dia mungkin tidak lagi dibenarkan berjumpa anaknya, Mohd. Atiq Haikal Aliff Fatihie yang kini di bawah jagaan keluarga bekas suami.

Menceritakan semula kejadian pukul 3 petang semalam, Roshaniza berkata, dia perlu ke bank bagi menyelesaikan satu urusan dan meninggalkan anaknya, Mohd. Atiq Haikal Aliff Fatihie yang nyenyak tidur di bawah jagaan jiran sekampung dipanggil Pak Din.

"Tidak lama selepas itu, anak saya terjaga dan menangis mencari saya. Pak Din cuba memujuknya dengan cara membawa dia membeli makanan ringan di stesen minyak milik saudara maranya yang terletak tidak jauh dari rumah.

"Ketika di stesen minyak, Pak Din mahu ke tandas dan meninggalkan Mohd. Atiq Haikal di luar sebelum seorang pekerja membawa anak saya masuk ke dalam kedai di stesen minyak.

"Selepas Pak Din keluar dari tandas, dia masuk ke dalam kedai untuk mengambil Mohd. Atiq Haikal dan kebetulan, saya juga baru tiba di stesen itu. Kami pun pulang ke rumah tanpa ada sebarang masalah sebelum dikejutkan dengan penularan gambar anak saya tidak lama kemudian," katanya di sini hari ini

Roshaniza memberitahu, dia bercerai dengan suami sejak setahun lalu dan mereka dikurniakan dua anak masing-masing berusia tiga dan sembilan tahun.

"Mohd. Atiq Haikal tinggal dengan bekas suami dan keluarga dia manakala anak sulung perempuan kami pula tinggal bersama saya dan keluarga. Kami tinggal di kampung sama dan sering berjumpa.

“Biasanya waktu tengah hari, Mohd. Atiq Haikal menghabiskan masa bersama saya dan sebelah petang, Pak Din hantar dia pulang ke rumah bekas suami semula.

“Sekarang nasi dah jadi bubur, saya mungkin tidak dapat jumpa anak saya lagi dah sebab orang (keluarga mentua) sudah tak percaya," katanya sambil menangis. - UTUSAN ONLINE