Menurut Timbalan Perdana Menteri, kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara dan lorong-lorong tikus terus diper­tingkat untuk menghalang anasir yang tidak diingini itu daripada menyusup masuk dan mencetuskan kekacauan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan akan memastikan negara dan rakyat sentia­sa selamat daripada sebarang ancaman apatah lagi jika kalangan pengganas itu sendiri merupakan rakyat negara ini.

Menurutnya, pihak keselamatan khususnya polis sudah mengenal pasti senarai semua individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan Daesh.

“Polis telah lakukan beberapa penangkapan ke atas mereka ter­babit yang termasuk dalam senarai orang yang disyaki.

“Polis takkan berhenti di situ sa­haja dan kita akan teruskan pem­buruan agar semua yang ada dalam senarai itu tidak akan terlepas,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Peringkat Negeri Terengganu dan Majlis Iftar di Masjid Jamek Tok Jembal, Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahm ad Razif Abdul Rahman; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Beliau mengulas siri letupan yang berlaku di Bangkok, Thailand; selatan Filipina dan terbaharu di Jakarta, Indonesia kelmarin yang dikaitkan dengan rakyat negara ini sebagai pengganas.

Dalam pada itu, Khalid berkata, polis akan sentiasa mengemas kini senarai mereka yang dikehendaki terbabit dalam aktiviti militan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid menggesa umat Islam agar tidak melakukan pembaziran makanan terutamanya se­panjang Ramadan ini kerana amalan itu bertentangan dengan ajaran agama.

Beliau turut menyebut bahawa negara telah digemparkan dengan fakta yang menunjukkan rakyat Malaysia membazir 17,800 tan makanan sehari berdasarkan Statistik Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).