Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, ROTF merupakan ilham Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melibatkan persembahan artis-artis terkenal, kebudayaan dan pencahayaan yang menarik.

“ROTF ini akan diadakan di satu cerun di kawasan berbukit di MAEPS yang dikenali sebagai D’Lereng dengan pentas dibina di kaki lereng tersebut.

“Penonton boleh duduk secara bebas dan santai di lereng tersebut bagi menyaksi dan menikmati persembahan artis-artis unda­ngan bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 12 tengah malam,” katanya kepada pemberita ketika membawa petugas media melawat sekitar tapak MAHA 2016 di MAEPS di Serdang, dekat sini hari ini.

Antara artis yang bakal me­ngadakan persembahan terma­suklah legenda rock Ramli Sarip, Kumpulan Wali Band dari Indonesia, Akim & Majistret, Shila Amzah, Kumpulan Khalifah, Ebiet G Adie dan Man Bai.

“Orang ramai juga dijemput ke Dewan D untuk menonton Forum Perdana Hal Ehwal Islam Khas Sempena MAHA 2016 yang akan diadakan pada malam esok,” katanya.

Antara anggota panel forum berkenaan adalah pendakwah terkenal Datuk Kazim Elias dan Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff serta moderator Zakaria Othman.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum dijangka turut menghadiri forum perdana itu,” katanya.