Gadis yang menjadi perbualan hangat di media-media sosial dengan khidmat penghantaran bermotosikal itu memberitahu Utusan Online, kemas kini akaun Facebook miliknya mengenai khidmat membawa penumpang wanita yang ditularkan itu sebenarnya bertujuan untuk mendapatkan maklum balas rakan-rakan mengenai potensi perkhidmatan tersebut.

Anak sulung daripada empat beradik yang lebih mesra dipanggil Yus itu menyatakan, dia sebenarnya menjalankan perkhidmatan penghantaran barang atau runner, bukannya membawa penumpang seperti yang disangkakan oleh netizen.

Menurut pelajar semester akhir Diploma Penerbangan di sebuah kolej swasta ibu kota itu, dia sedia maklum perkhidmatan membawa penumpang menggunakan motosikal telah diharamkan oleh kerajaan pada Februari tahun lepas.

"Sejak mula menyediakan khidmat runner ini pada bulan lepas, ramai dalam kalangan pelanggan mengesyorkan agar saya juga membawa penunpang.

"Bahkan, maklum balas di Facebook saya juga menunjukkan ramai yang berminat untuk mendapatkan khidmat membawa penumpang dengan motosikal," jelas gadis ketika ditemubual di Gombak hari ini.

Menurut Yus, ilham untuk menyediakan khidmat penghantaran barang tersebut timbul sewaktu dia melancong bersama keluarga ke Thailand tahun lepas.

Jelas beliau, selepas berbincang dan mendapat persetujuan daripada ibu dan keluarganya, dia pun menanamkan tekad untuk memulakan khidmat penghantaran barangan tersebut.

Katanya, selain itu, dia memberanikan diri untuk meneruskan rancangan itu kerana mahu berdikari dan meringankan beban keluarga.

Dia yang sememangnya berminat untuk berniaga menambah, sebelum ini dia pernah menjual kerepek keju, namun disebabkan beberapa faktor dia terpaksa menghentikannya.

"Paling memberi kesan ialah bila kehilangan duit berjumlah RM200 hasil jualan pada hari tersebut yang menyebabkan saya hanya tinggal RM20 untuk duit belanja.

"Bila diceritakan pada adik, dia katakan mungkin kejadian itu satu petunjuk daripada Allah untuk saya mencuba perniagaan baharu," katanya.

Ira juga berterima kasih kepada netizen yang menularkan muat naik facebooknya itu kerana menurutnya, ramai dalam kalangan mereka memberikan nasihat dan komen membina kepadanya.

Gadis itu juga menyatakan harapan untuk mendapatkan bantuan serta nasihat niaga daripada pihak-pihak yang berkaitan agar dia dapat mengembangkan perkhidmatan yang dijalankannya satu perniagaan. - UTUSAN ONLINE