Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Datuk Dr. Mohd. Zubir Sheikh Saad berkata, pemilihan Saipolbahari sebagai ikon mengambil kira ketokohan yang ditunjukkan beliau dalam bidang agrousahawan.

“Walaupun seorang yang berjaya dan memegang beberapa ja­watan penting, beliau seorang yang merendah diri tetapi mudah didekati. Sikap dermawan beliau juga merupakan sesuatu yang perlu dicontohi.

“Saya selalu mengingatkan pe­lajar di sini bahawa sekeping diploma atau sijil bukan jaminan untuk mendapat pekerjaan. Mudah-mudahan pelantikan ini akan meletakkan satu tanda aras baharu untuk pelajar di PICOMS dan menjadi pemangkin semangat untuk mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya dalam Majlis Ikon Usahawan PICOMS di sini baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Saipolbahari turut menyumbangkan RM20,000 kepada Kelab Usahawan PICOMS.

Sementara itu Saipolbahari berkata, beliau menganggap pe­lantikan dirinya sebagai ikon usahawan sebagai satu penghargaan dan akan menggunakan kesempatan itu untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar PICOMS dalam bidang tersebut.

Katanya, dengan peningkatan graduan universiti, sangat pen­ting untuk generasi muda sekarang menunjukkan minat dan me­ngetahui selok-belok asas da­lam bidang perniagaan untuk melahirkan sebuah masyarakat usahawan yang berjaya.

“Saya sendiri bermula dari ba­wah dalam bidang agrousahawan dengan menanam nanas di kampung dan kini pendapatan sebulan boleh mencapai RM2 juta.

“Pengalaman jatuh bangun sa­ya dalam keusahawanan ini insya-Allah boleh dikongsikan de­ngan pelajar-pelajar yang berminat. Antara yang berpotensi ialah penanaman jagung, kelapa sawit serta madu kelulut dan apa yang paling penting ialah semangat untuk berjaya dalam sesuatu bidang,” katanya.