Kaedah itu menggunakan dua jenis sel yang diletakkan dalam bekas silikon untuk menanam kuman folikel rambut iaitu sumber organ-organ kecil yang tumbuh dan mengekalkan rambut.

Kajian yang diketuai oleh seorang Profesor di Universiti Kebangsaan Yokohama, Junji Fukuda itu menyaksikan pasukan saintis tersebut berjaya menghasilkan 5,000 kuman folikel rambut dalam masa beberapa hari, cukup untuk menambahkan rambut di kepala mereka yang mempunyai masalah botak.

Kaedah itu merupakan penemuan yang besar berbanding teknik-teknik sebelum ini yang hanya boleh menghasilkan 50 atau lebih kuman folikel rambut sekali gus.

Fukuda berkata, kaedah itu juga boleh membantu pesakit kanser yang keguguran rambut akibat keadaan perubatan yang menyebabkan masalah itu berlaku.

“Klinik-klinik kecantikan sering menggunakan rambut daripada kawasan belakang kepala dan menanamnya ke kawasan hadapan yang keguguran rambut. Masalahnya, ia tidak meningkatkan jumlah rambut.

“Ubat yang sedia ada boleh melambatkan kehilangan rambut, tetapi ia tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah keguguran rambut,” katanya.

Katanya, kaedah baharu itu akan ada dalam tempoh masa 10 tahun akan datang. – AFP