Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, senario berkenaan adalah sama ada harga barang akan meningkat, kekal ataupun mengalami penurunan.

Walaupun begitu, beliau memberi jaminan bahawa 22 senarai harga barang kawalan tidak akan mengalami kenaikan harga kerana perubahan hanya melibatkan barangan tertentu.

"Selama tiga bulan rakyat tidak menikmati cukai iaitu dalam musim 'tax holiday' dan daripada keadaan tidak ada apa-apa cukai itu, SST akan dilaksanakan yang mana ada barangan yang dikenakan kosong, lima dan 10 peratus cukai SST.

"Secara logiknya sudah tentu akan berlaku kesan pada harga barang dan pihak kementerian juga sudah mempunyai seramai 800,000 Sahabat KPDNHEP bagi membantu pihak penguat kuasa memantau harga barangan di seluruh negara.

"Ini kerana, kita sedar pegawai penguat kuasa kita hanya ada seramai 2,300 anggota di seluruh negara dan sudah tentu kita perlukan pertolongan daripada rakyat sendiri untuk membantu pihak kementerian sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Kepenggunaan kepada Ahli Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat) di Jalan Padang Siam, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Penaung Pakat, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor dan Pemangku Pengarah KPDNHEP negeri, Firdus Zakaria.

Seramai 15,000 ahli Pakat dilantik di negeri ini bagi membantu pihak kementerian memantau harga barangan.

Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 diluluskan hari ini iaitu salah satu daripada lima undang-undang bagi membolehkan SST dilaksanakan pada 1 September ini walaupun Dewan Negara dianggotai majoriti Senator daripada Barisan Nasional (BN). -UTUSAN ONLINE