Satu daripada program yang mewujudkan kolaborasi strategik antara PTPTN dan agensi kerajaan serta swasta iaitu Sahabat PTPTN. Program ini bertujuan menggalakkan kakitangan membuat bayaran balik pinjaman, membuka akaun SSPN dan membuat penambahan deposit secara potongan gaji, di samping menjana pendapatan sampingan.

Program Sahabat PTPTN layak disertai agensi kerajaan dan swasta yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sehingga kini, sejumlah 4,358 daripada kedua-dua agensi telah menyertai program itu.

Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Khidmat Pe­ngu­rusan, Bahagian Khid­mat Pengurusan dan Sumber Manusia, Jabatan Kas­tam Diraja Malay­sia (JKDM), Abdul Ra­zak Anwar, program tersebut mempunyai keistimewaan sendiri yang memberi kelebihan kepada majikan dan pekerja.

Beliau berkata, de­­ngan adanya program sedemikian, ia akan menggalakkan penja­wat awam atau pekerja swasta untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN menerusi potongan gaji dan secara tidak langsung, pihak majikan juga akan menerima komisen bagi setiap potongan yang berjaya dilakukan.

“Ini juga menunjukkan kerjasama yang bagus di antara majikan dan pekerja apabila pihak majikan dapat membantu memudahkan kakitangan melaksanakan pembayaran balik pinjaman.

“Selain itu, program ini juga memberi banyak kelebihan apabila pekerja dapat membuat simpanan pendidikan kepada anak-anak. Pendekatan ini dapat membentuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menabung secara bijak demi masa depan anak-anak mereka,” ka­tanya ketika di­temui dalam Majlis Meraikan Sahabat PTPTN di sini baru-baru.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop; Timbalan Komisioner Penjara KA54, Ariffin Mohd. Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zainalnizam Zainun dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Norman Mohd. Saleh.

JKDM merupakan antara pe­nerima Sijil Sahabat Terbaik PTPTN. Penerima lain ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Yayasan Wilayah Persekutuan, Affin Bank, UKM dan Ang­katan Tentera Malaysia (ATM).

Sebagai menghargai Sahabat PTPTN, agensi berkenaan turut meraikan mereka dalam acara tersebut dengan menganuge­rah­kan sijil penghargaan kepada Sahabat PTPTN Terbaik yang berlangsung di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, mana-mana agensi yang masih belum menjadi Sahabat PTPTN harus menggunakan peluang untuk berbuat demikian kerana ia banyak memberi manfaat serta keistimewaan kepada majikan dan pekerja.

“Seperti yang dapat dilihat hari ini, walaupun JKDM menerusi Yayasan Kebajikan Kastam baru menjadi Sahabat PTPTN pada Mac lalu, kami telah berjaya menerima insentif sehingga mence­cah RM28,000.

“Diharapkan dengan adanya usaha yang dilakukan oleh PTPTN ini akan membuka mata lebih banyak agensi kerajaan mahupun swasta untuk sama-sama menjadi Sahabat PTPTN demi kebaikan bersama,” katanya.