Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 18 dan 19 Dis lalu telah membincangkan hukum membina masjid daripada sumber haram seperti dana loteri kebajikan masyarakat dan hukum solat di dalamnya dan memutuskan bahawa solat itu sah.

"Individu yang membina masjid menggunakan wang daripada sumber haram adalah berdosa manakala orang yang bersembahyang di dalam masjid itu tidak berdosa dan solatnya dikira sah dan memperoleh pahala berdasarkan fatwa-fatwa dan ulama-ulama terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan penerangan berhubung perkara itu kepada kariah Masjid Rantau Panjang, dekat sini, hari ini selepas menerima aduan daripada kariah masjid itu yang ragu-ragu untuk mendirikan solat di masjid itu yang dikatakan dibina daripada sumber haram.

Wan Salim berkata pihaknya akan mewartakan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu bagi memastikan fatwa itu diterima tanpa sebarang keraguan.

"Sesiapa yang ingin bertaubat daripada perbuatan itu (menggunakan wang daripada sumber haram untuk membina masjid), boleh beri sumbangan untuk kemaslahatan umat Islam seperti membina pondok-pondok agama, jambatan, bilik air dan bersedekah kepada fakir miskin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kariah masjid itu Rosli Hamid,65, berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan mufti dan berharap semua ahli kariah masjid menerima fatwa itu. - BERNAMA