Itu merupakan nasihat diberikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan penularan video intim ketika ini.

"Tuhan minta kita sabar bila berdepan dengan situasi fitnah, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat juga pernah sebut, kalau ribut tengah kuat, tundukkan kepala, kalau sebarang jawapan ketika 'ribut' tengah kuat, orang takkan terima, jawaplah macam mana cara sekalipun.

"Kita kena tenang, sama juga dalam kes ini, kena sabar, dekatkan diri dengan Allah S.W.T, doa kepada Allah supaya dibuktikan dan fitnah-fitnah itu akan hilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Pas di sini malam ini.

Mengulas mengenai penularan video tersebut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian tidak menolaknya sebagai kemungkinan strategi untuk mengalihkan isu.

Jelas beliau, terdapat kemungkinan penyebaran video itu bertujuan menutup isu ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ataupun isu pertelingkahan dalaman.

"Mungkin apa yang berlaku ini adalah strategi untuk melarikan diri atau mengalih perhatian, wujudkan hal lain untuk menutup hal perkara lain, jadi kita jangan terperangkap dengan apa yang berlaku.

"Video-video ini cuba mengalih perhatian dari realiti yang sedang berlaku iaitu mengenai nasib rakyat, supaya ini cara untuk rakyat lupa. Ini sebagai satu kaedah untuk mengalihkan isu atau agenda pihak-pihak tertentu untuk naik, konflik dalaman dan sebagainya, ada kemungkinan," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE