Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Pusat dan negeri bersetuju untuk menjalin kerjasama rapat demi memastikan pembangunan infrastruktur seperti projek utiliti serta menaik taraf sekolah daif di kedua-dua negeri ini dapat diteruskan.

Beliau berkata, menyedari kepentingan Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) kepada rakyat di kedua-dua negeri ini, kerajaan Pusat memutuskan untuk meneruskan projek berkenaan.

“Hasil pertemuan saya dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) hari ini, saya gembira beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bersetuju dan sependapatan untuk saling mengukuhkan hubungan dengan kerajaan Pusat.

“Kerjasama ini penting supaya kita dapat melihat bagaimana Sarawak dapat terus dimajukan supaya menjadi negeri berwibawa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, selain bertemu Abang Johari, beliau turut mengambil kesempatan untuk mendengar penerangan daripada pegawai kementeriannya di negeri ini tentang perancangan projek pembangunan untuk Sarawak.

Selain itu, katanya, beliau turut melawat projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Tambey, Kota Samarahan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Katanya, kerajaan Persekutuan memandang serius masalah 116 sekolah daif di Sarawak dan berusaha menyelesaikannya dengan segera.

“Terdapat 116 sekolah daif di Sarawak dikenal pasti untuk dinaik taraf sebelum ini.

“Projek menaik taraf yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) semuanya dapat disiapkan mengikut jadual cuma projek di bawah Kementerian Pendidikan yang masih bermasalah.

“Jadi, kita memutuskan projek terbengkalai ini diambil alih oleh JKR untuk disiapkan kerana mereka mempunyai pakar dan kemahiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE