Setiausaha Agungnya, Ladis Yaman turut mendedahkan bahawa polisi itu bukan sahaja diguna pakai ke atas mereka yang bekerja di barisan hadapan, malah pekerja bahagian pembersihan turut terikat dengan polisi yang sama.

“Memang ramai yang mempunyai hasrat untuk bekerja di hotel, tetapi tidak dapat teruskan disebabkan sekatan polisi tersebut. Salah satu aduan yang pihak kami terima adalah terdapat pelatih kursus perhotelan terpaksa membatalkan permohonan menjalankan latihan industri di sebuah hotel ekoran tidak dibenarkan bertudung.

“Oleh itu, saya menyokong penuh hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengambil tindakan tegas dan menarik balik lesen hotel yang mengamalkan polisi tersebut supaya tidak ada penindasan agama serta pilih kasih terhadap muslimah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) meminta pekerja wanita menanggalkan tudung atau melarang mereka yang bertudung bekerja di barisan hadapan dalam sektor perhotelan di negara ini.

Semalam, Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, SOP itu sebenarnya sengaja diada-adakan oleh pihak yang disifatkan kurang ajar dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan serta mahu mencabar kebebasan beragama di negara ini.

Mengulas lanjut, Ladis berkata, polisi tersebut sudah lama diamalkan, namun masih tiada tindakan yang dapat diambil berikutan tiada pihak yang mahu mengambil ambil tindakan tegas ke atas isu tersebut dan tiada aduan yang dibuat.

“Kalau ada individu yang menyuarakan perkara ini, mungkin isu ini sudah lama diketengahkan,” katanya.

“Sementara itu, pihak kami juga tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati jika tiada aduan dibuat oleh mana-mana individu atau pihak terlibat,” katanya.