Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain memberi ruang kepada Fili­pina mengemukakan tuntutan, Sabah juga mungkin menjadi mang­sa keadaan akibat pertembungan kuasa-kuasa besar di Laut China Selatan.

"Keadaan politik yang berlaku dengan pembangunan pulau-pulau buatan manusia oleh China serta kehadiran kapal perang Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan amat membimbangkan.

"Jika kita mengambil keputusan itu (keluar Malaysia) atas rasa tidak puas hati dan mengikut emosi, kita berdepan ‘ancaman' lebih besar iaitu dikuasai oleh China atau AS," katanya dalam Majlis Dialog Isu Semasa Negara 2015 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan negeri di sini hari ini.

Masidi yang merupakan panel dialog tersebut bertanggungjawab mengupas isu-isu Perlembagaan Persekutuan dalam konteks Sabah di hadapan kira-kira 300 orang penjawat awam negeri.

Mengulas isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama warga Filipina di negeri ini, Masidi menambah, perkara itu memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk sokongan kedua-dua negara.

Ujar beliau, segala usaha membanteras PATI boleh dilakukan namun kerajaan berdepan masalah penempatan mereka dalam tahanan selain proses menghantar pulang.

"Setiap PATI yang ditahan perlu memiliki dokumen perjalanan dari negara asal sebelum dihantar pulang. Sebagai contoh, kita mengalami masalah apabila PATI yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Apabila kita mahu menghantar pulang, negara mereka tidak menerima ekoran tiada dokumen berkenaan. Selain itu, lambakan PATI warga Filipina di Sabah berpunca daripada tindakan masyarakat negeri ini yang menawarkan pekerjaan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Masidi memberitahu, wakil republik itu dilaporkan datang ke negeri ini dua kali setahun berhubung pelbagai urusan diplomatik selain urusan dokumentasi.

"Kita melihat mereka (Filipina) tiada kesungguhan untuk bantu mengatasi masalah ini. Jika benar mahu (bantu), sudah lama membuka konsulat mereka di negeri ini untuk sebarang urusan melibatkan warganegara mereka," katanya.