Sama ada isu berkaitan alam sekitar yang sememanganya dekat dengan beliau, sehinggalah kepada isu ekonomi dan antarabangsa yang memberi kesan kepada pengguna, semuanya tidak terlepas daripada pemerhatian CAP.

Sebab itu dalam kalangan wartawan, S. M. Mohamed ibarat gedung ilmu dan pihak tidak berkepentingan yang boleh mengulas apa sahaja isu dengan penuh bijaksana, seimbang, bebas dan adil.

Malah, isu berkaitan kerepek papadom yang mempunyai kandungan garam terlalu tinggi juga pernah dibangkitkan beliau sehinggakan pengusaha restoran terpaksa tampil memberi penjelasan.

Itu adalah gambaran bagaimana berpengaruh dan kuatnya suara CAP khususnya S. M. Mohamed dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kepenggunaan.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, CAP juga satu-satunya persatuan pengguna negeri yang cukup aktif dan lantang dalam membangkitkan pelbagai isu berkaitan kepenggunaan di negara ini.

Suara beliau bukan sahaja menjadi rujukan, malah dianggap sebagai pihak ketiga yang berperanan penting kepada mana-mana pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Ia termasuk dalam pelbagai isu berkaitan alam sekitar di negeri ini yang meskipun mengundang rasa kurang senang pihak tertentu, namun tidak pernah menghalang CAP untuk terus membangkitkannya.

Acap kali juga, suara bantahan S. M. Mohamed itu berjaya memaksa pihak tertentu membatalkan atau merubah polisi sedia iaitu kejayaan yang tidak banyak NGO mampu melakukannya.

Disebabkan itu juga, nama CAP terutama S. M. Mohamed cukup disegani dan Allahyarham sendiri beberapa kali diangkat dan diberikan anugerah kerana ketokohannya dalam bidang kepenggunaan.

Sebab itu, kehilangan S. M. Mohamed kira-kira pukul 5 petang hari ini iaitu pada petang Jumaat 12 Ramadan bukan sahaja mengejutkan banyak pihak malah tidak syak lagi merupakan kehilangan besar kepada negeri ini.

Pada usia 93 tahun dan masih aktif menyebarkan serta menyuntik kesedaran orang ramai dalam pelbagai isu, S. M. Mohamed menunjukkan kecintaan yang luar biasa dalam kerja dan perjuangannya.

Ia adalah contoh semangat tinggi yang sepatutnya menjadi ikutan semua pihak khususnya mereka yang terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja tanpa mengharapkan keuntungan.

Apa yang diharapkan juga, kehilangan S. M. Mohamad meskipun begitu dirasai, namun tidak akan sama sekali menghentikan peranan yang dimulakan dan diperjuangkan seumur hidup Allahyarham dalam mempertahankan pengguna. - UTUSAN ONLINE