ABDUL HADI AWANG

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya bagaimanapun mahu terlebih dahulu melihat draf pindaan undang-undang tersebut sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

"Kita belum melihat ia sebagai muktamad. Saya mahu membaca draf itu, adakah ia memenuhi hajat seperti yang kita mahu.

"Berhubung soal ini, kita mahu kerjasama baik demi kepentingan umat Islam dan menjamin hak orang bukan Islam. Malah, Pas senada dengan kerajaan dalam usaha menaik taraf mahkamah syariah," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Profesional Malaysia anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerajaan sendiri akan membentangkan usul pindaan RUU 355 dalam sidang Parlimen kali ini bagi mendapatkan kelulusan.

Abdul Hadi ketika sidang Parlimen November tahun lalu membentangkan usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) sehingga mencetuskan polemik dan bantahan termasuk daripada parti-parti pembangkang.

Sementara itu, Abdul Hadi menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa wujud kerjasama antara Pas dengan Barisan Nasional (BN) berhubung penguasaan negeri-negeri oleh parti tertentu selepas pilihan raya umum.

Beliau menegaskan tidak pernah wujud kerjasama Pas dan BN untuk mengagihkan beberapa negeri antara kedua-dua parti tersebut.