Timbalan Perdana Menteri memberitahu, rang undang-undang itu yang bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampai­an perkhidmatan kebajikan yang profesional kepada rakyat akan dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Kabinet sebelum dibawa ke sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, pada masa ini, draf rang undang-undang tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian lanjut.

“Pada 2030, Malaysia akan memasuki kategori negara tua kerana 15 peratus daripada penduduk negara ini ketika itu akan berada dalam kumpulan 60 tahun ke atas. Jadi, sebagai persediaan menghadapi status negara tua, kita harus mempunyai pelan jangka panjang yang komprehensif untuk menyelesaikan masalah sosial.

“Kerajaan percaya dengan inisiatif pembangunan profesion kerja sosial dan kebajikan melalui perundangan ini kelak akan berlaku suatu anjakan paradigma dan lonjakan dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Muhamad Farid Iskandar Mohd. Zulkarnain terpilih menerima pingat Hang Tuah kerana keberanian menyelamatkan enam rakannya daripada menjadi mangsa kebakaran Pusat Tahfiz al-Quran Wartabiyatul Islamiah di Ba­ling, Kedah, Ogos lalu.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Timbalannya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun serta Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Zulkiply Ramli.

Bulan Kebajikan Negara 2017 yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu merupakan sambutan yang mengiktiraf dan menghargai sumbangan kumpulan sasar selain memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut.

Pada majlis itu, sebanyak 23 anugerah telah diberikan kepada kumpulan sasar bagi menghargai pencapaian dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan BELFOS sebagai nama baharu bagi ‘My Beautiful Life for Seniors’, iaitu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan warga emas memperoleh kehidupan yang produktif dan menjalani kehidupan bermanfaat.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyarankan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar menjadikan program Bulan Kebajikan Negara 2017 sebagai agenda tahunan demi memastikan kelangsungan perkhidmatan yang berkualiti kepada kumpulan sasar kementerian tersebut.

“Saya juga berharap dengan pelancaran Bulan Kebajikan Negara 2017 ini, lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, korporat, swasta, komuniti, pemimpin tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama memikul tanggungjawab sosial dan memberi perhatian khusus dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat bagi memastikan tiada sesiapa tercicir daripada menerima perkhidmatan disediakan kerajaan,” katanya.