Peguam Nizam Bashir mewakili Perkasa memberitahu pemberita, pihaknya mengemukakan permohonan lisan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Hanipah Farikullah atas alasan saman pemula Mohamed Tawfik tersebut menyentuh isu undang-undang melibatkan perlembagaan.

Peguam Mansoor Saat yang mewakili Mohamed Tawfik yang juga anak kedua bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berkata, permohonan Perkasa itu akan didengar pada 23 Mei ini.

Pada tarikh yang sama, menurut Mansoor, Hakim Hanipah akan mendengar permohonan bantahan awal pihaknya berhubung isu konflik kepentingan terhadap permohonan Jabatan Peguam Negara yang bertindak mewakili Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah.

Menurut beliau, kedua-duanya daripada badan legislatif (kuasa untuk menggubal undang-undang) oleh itu kedudukan mereka membabitkan isu hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk dinamakan sebagai pihak dalam saman pemula Mohamed Tawfik.

Pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Maisarah Juhari.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Tawfik, 66, selaku pihak plaintif memfailkan saman pemula dengan menamakan Pandikar defendan pertama dan Roosme defendan kedua.

Dalam saman pemula tersebut, pihak plaintif menuntut lapan perisytiharan dan dua perintah antaranya, tiada sebarang usul ahli persendirian yang tidak mematuhi keperluan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat boleh diterima oleh Setiausaha Dewan.

Pihak plaintif juga menuntut perisytiharan, Aturan 49 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, usul Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah usul yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini memandangkan usul itu tidak disertakan dengan salinan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 serta huraian mengenai tujuan dan sebabnya serta perlu ditolak oleh Setiausaha Dewan Rakyat.