Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dilihat yang paling tegas dikeluarkan oleh pemimpin negara selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meng­usulkan pindaan RUU 355 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Ahmad Zahid mengingatkan golongan bukan Islam supaya tidak mengajar kaedah untuk mengukuhkan undang-undang Islam.

Menurutnya, beliau tidak bermaksud mahu menyentuh agama lain tetapi mahukan orang bukan Islam supaya menghormati agama Persekutuan itu sebagaimana orang Islam menghormati agama-agama lain yang diamalkan di negara ini.

“Saya tidak berhajat mahu cabar sesiapa. Tetapi sesuatu yang baik, kita mahu memperakukan sebagai kebaikan ummah, perlu ke kita tanya pada orang lain yang tidak satu akidah de­ngan kita setakat mana harus ambil wuduk? Sampai siku atau lengan?

“Bukan hak mereka untuk ambil tahu. Itu ibadah kita, apatah lagi apabila mereka pertikai bagaimana kita rukuk dan sujud. Sila hormati agama kami sekiranya mahukan kami menghormati agama anda,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan bersetuju menambah lima lagi MRSM Ulul Albab di seluruh negara menjadikannya sembilan keseluruhannya.

Katanya, kerajaan percaya MRSM Ulul Albab mampu menjadi pemacu utama pembangunan ummah di negara ini.

“Saya akan bantu sedaya mungkin untuk menterjemah pelaksanaannya dalam menentukan kita jadi bangsa Malaysia yang beriman dan mempunyai emosi baik serta daya keintelektualan tinggi,” jelas beliau.

Lima MRSM Ulul Albab itu ialah di Semporna (Sabah), Bagan Datuk (Perak), Ketereh (Kelantan), Bera (Pahang) dan Sik (Kedah).