Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu hanya boleh dicapai sekiranya negara ditadbir dengan baik dengan tiada gejala rasuah dan acara-acara disengajakan untuk mencetuskan huru-hara serta permusuhan kaum.

Sebab itu jelas beliau, apabila terdapat permasalahan seperti rusuhan, ia hendaklah ditangani dengan bijak sebagai pemerintah yang prihatin dan berpengalaman serta memahami tujuan adanya pentadbiran negara.

“Saya yakin anggota Jabatan Perdana Menteri memahami maksud serta hasrat penubuhan kerajaan iaitu bukan untuk mengkayakan diri sesiapa tetapi memastikan negara mendapat kemajuan dan akan lebih maju dari sekarang.

“Percayalah kalau kita memajukan negara kita, kita akan dapat merasai nikmatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Ucapan Perdana Menteri itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Dr. Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir menyeru anggota pentadbiran negara agar melaksanakan tugas mengikut kuasa yang telah diberikan.

Katanya, kuasa yang diberikan adalah untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

“Ini harapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah menggantikan kerajaan lama kerana kerajaan sebelum ini gagal memegang matlamat negara serta salah faham dan salah guna tujuan kuasa diberikan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan mahu melihat semua penduduk negara ini merangkumi di luar bandar dan bandar menikmati kekayaan, kemerdekaan serta pemerintahan yang prihatin di Malaysia.

“Bukan niat kita mahu menghalang perkembangan dan kekayaan di bandar tetapi jika jarak antara kaya dan miskin terlalu jauh maka akan timbul iri hati dan benci.

“Ini akan menyebabkan negara menghadapi permusuhan antara bandar dan luar bandar serta antara miskin dan kaya. Bahkan ini melibatkan antara satu kaum dengan kaum lain. Ini perlu dielakkan dan tugas agar perkara ini tidak menjadi lebih buruk adalah tanggungjawab kita,” katanya.