Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang sedang dalam lawatan ke negara ini mengalu-alukan usa­ha mengadakan perundingan dua hala antara pegawai kanan kementerian masing-masing se­­bagai mekanisme untuk me­ningkatkan keterlibatan antara kedua-dua pihak.

Dalam pertemuan yang membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama, ke­dua-dua pemimpin mengesahkan komitmen untuk me­ngukuhkan perkongsian yang memenuhi kepentingan kedua-dua negara.

"Sebagai mencerminkan hu­bungan ekonomi, komersial dan pelaburan yang telah lama terjalin dan sepadan, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan usaha berterusan untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dengan Pakistan," kata kenya­taan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan Imran Khan.

Kedua-dua pemimpin me­ne­gaskan hasrat bersama untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, mem­perluaskan perdagangan dan pelaburan, mewujudkan keadaan yang positif bagi perdagangan dan perniagaan di kedua-dua negara, terutama dalam industri minyak sawit, produk pertanian, peruncitan makanan, produk halal, bahagian automotif, tenaga, sains dan teknologi serta telekomunikasi, kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama Malaysia-Pakistan itu menyatakan bahawa kedua-dua pihak menaruh harapan bagi mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Pakistan (MPCEPA) dalam masa terdekat dengan hasrat untuk mening­katkan lagi perkongsian eko­nomi.

“Dr. Mahathir turut mengulangi komitmen Malaysia untuk membantu Pakistan dalam menangani kekurangan bekalan tenaga, sementara Imran Khan mengalu-alukan kerjasama Malaysia dalam Gas Asli Cecair (LNG) dan sektor tenaga yang lain termasuk hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui,” jelas kenyataan berkenaan.

Dr. Mahathir dan Imran Khan mengulangi tentang pentingnya memorandum persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan dan meletakkan kepada Jawatankuasa Bersama mengenai Kerjasama Pertahanan (JCDC) ke-13 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun depan (2019). – BERNAMA