Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, ini bagi mengurangkan kebergantungan KWSP terhadap keadaan ekonomi dalam negara dan pulangan pelaburan dari luar negara.

“Pencapaian KWSP tahun lepas yang baik adalah kerana dua fak­tor ini tetapi tidak berupaya menjanjikan apa-apa kepada pencarum untuk tahun-tahun hadapan. Ini di­se­babkan suasana eko­nomi semasa.

“Projek Rumah Pencarum Mampu Milik akan memastikan produk ini memulangkan pelaburan yang baik dan pencarum dapat memiliki rumah, seiring dengan matlamat rumah rakyat kerajaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, KWSP mengumumkan telah mencatatkan kenaikan sebanyak 8.26 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM791.48 bilion bagi 2017 berbanding RM731.11 bilion pada 2016.

Abdul Halim berkata, kadar dividen KWSP harus mempunyai kredibiliti dan tidak kurang dari tahun sebelumnya kerana caruman merupakan pelaburan selamat dan pencarum adalah pekerja yang menyerahkan amanah kepada KWSP.

“KWSP mempunyai pengurusan profesional yang mengatur strategi untuk memberi pulangan baik dan mereka bertanggungjawab dalam melaburkan wang caruman pekerja sentiasa bebas daripada pengaruh luar.

“Dalam masa sama, KWSP mesti diberi kelonggaran dalam memegang saham majoriti dan dikurangkan melabur dalam pasaran saham terbuka,” katanya.