Menteri Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, sistem tersebut merangkumi kamera litar tertutup (CCTV) dan kad akses yang dikeluarkan kepada penghuni unit kediaman sahaja bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan.

“Sistem AVS ini diharap dapat mengurangkan isu vandalisme yang berlaku di kebanyakan rumah pangsa dan memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau sebarang aktiviti vandalisme termasuk di dalam lif serta tindakan segera boleh dilakukan.

“Selain itu, kita juga memperkenalkan kad akses khusus untuk penghuni unit kediaman sahaja, bermakna bukan penghuni tidak boleh memasuki kawasan berkenaan atau menggunakan kemudahan lif disediakan melainkan dengan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Perumahan Pak Mahat di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Industri dan Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Pada majlis itu, Noh turut mengumumkan peruntukan berjumlah kira-kira RM5 juta bagi melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan di kawasan perumahan tersebut termasuk tangki air.

Menurut Noh, terdapat kira-kira 7,000 unit rumah pangsa dan projek perumahan rakyat (PPR) yang masih belum didiami.

“Isu tersebut antara masalah yang cuba kita atasi dalam masa terdekat, dari segi syarat mereka layak namun kegagalan mereka mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan menjadi punca utama.

“Walaupun ditawarkan pada harga yang rendah iaitu RM35,000, masih gagal mendapatkan kelulusan,” ujarnya.

Katanya, kerajaan turut memperkenalkan skim sewa beli bagi memudahkan penghuni mendiami rumah pangsa yang disediakan.

“Saya harap skim sewa beli ini diperluas dan mendapat kerjasama daripada kerajaan ne­geri dan PBT,” ujarnya.