Pembinaan lebih 500 unit rumah berkenaan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, didirikan di atas tanah seluas 21.4 hektar di sini.

Rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air itu akan dijual kira-kira 30 ke 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran di Gerik, yang umumnya berada pada harga RM220,000 sebuah.

Zambry ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kerajaan komited untuk menyediakan penempatan untuk golongan berpendapatan rendah.

“Permintaan terhadap rumah sentiasa tinggi walaupun terdapat sumber yang terhad. Namun, kita adalah antara negara yang menyediakan pelbagai bentuk perumahan kepada rakyat.

“Antaranya ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Di peringkat negeri, kita juga mempunyai Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut yang diadakan dekat Kuaters JKR Gerik Base Camp di sini hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S. Thangasvari; bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali; exco-exco kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman. - UTUSAN ONLINE