Rukun Negara perlu sentiasa dihayati dan dihormati setiap individu ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.

Bagaimana untuk menggalakkan rakyat menghayati Rukun Negara dan menjadikannya terus relevan, wartawan Utusan Malaysia MUZDALIFAH MUSTAPHA dan jurugambar RASHID MAHFOF menemu bual Menteri di Jabatan Perdana Menteri, TAN SRI JOSEPH KURUP selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

UTUSAN: Apakah kepentingan menghayati prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat?

JOSEPH: Rukun Negara digubal bertujuan mendidik rakyat tentang kepentingan perpaduan. Perpaduan adalah tonggak dalam sesebuah negara untuk menyatukan rakyat berbilang kaum selain memastikan rakyat dan negara tidak diancam oleh kuasa luar dan anasir buruk dari dalam negara.

Keutamaan prinsip Rukun Negara adalah dengan menghayati lima prinsip yang terkandung. Menerusi pemahaman dan penghayatan itu maka wujudlah masyarakat yang hormat-menghormati, ber­kongsi kemakmuran dan keharmonian secara adil dan saksama serta pa­ling utama melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Bagaimana Tan Sri melihat penghayatan masyarakat di era dunia teknologi kini khusus­nya dalam kalangan pelajar dan generasi akan datang terhadap Rukun Negara?

Berhubung prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar, diakui ia tidak diberi penekanan sepenuhnya apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini kerana pengaruh media sosial yang amat mencabar. Bagi mereka, prinsip tersebut hanya boleh dilihat di bahagian belakang kulit buku.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah mengambil langkah mewujudkan beberapa program jangka panjang yang relevan mengikut kesesuaian masa dan trend tanpa meninggalkan sedikit pun asas dalam Rukun Negara.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan agama, yang mana masing-masing mempunyai tuntutan atau hak tersendiri. Bagaimana amalan Rukun Negara itu boleh menjadi wadah untuk rakyat berbilang kaum kekal mengutamakan perpaduan?

Setiap warganegara perlu memahami perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan yang jelas menggariskan perkara-perkara tertentu berkaitan de­ngan hak antara kaum sama ada daripada aspek bahasa, kebebasan bersuara atau hak beragama.

Oleh itu, sebelum menyuarakan pendapat mahupun tuntutan tertentu, eloklah merujuk Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Amat jelas bahawa prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dihayati agar tidak mengguris perasaan kaum-kaum lain.

Kerajaan hari ini sering menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, bagaimana Tan Sri melihat semangat itu dalam kalangan pe­mimpin kerajaan pembangkang?

Setiap kali sidang Dewan Rak­yat, pembangkang tidak terkecuali daripada mengetengahkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini, tetapi mereka jarang menyentuh mengenai kepentingan Rukun Negara seper-
ti yang ditekankan oleh kerajaan.

Namun mereka faham kepentingan perpaduan, justeru itu kita minta kerjasama semua pihak termasuk di negeri-negeri pembangkang untuk memberi kesedaran mengenai Rukun Negara memandangkan tujuan ini amat murni.

Bagaimana Tan Sri melihat isu-isu semasa yang boleh memberi ancaman kepada perpaduan negara dan kepentingan penghayatan kepada Rukun Negara itu boleh menjadi umpama perisai kepada ancaman tersebut?

Selepas 60 tahun negara merdeka, kita akui terdapat konflik atau perselisihan berlaku dalam kalangan masyarakat yang melibatkan isu kaum seperti peristiwa 13 Mei, kes Kampung Medan, kes Low yat dan beberapa kes terpencil.

Namun dengan penghayatan dan amalan Rukun Negara, setiap rakyat Malaysia dapat memainkan peranan dengan mempertahankan ciri budaya dan agama yang asli agar terus kekal dalam keunikan dan keperibadian yang tersendiri.

Apakah antara langkah terbaharu jabatan dalam mendidik belia dan generasi dunia tanpa sempadan untuk memperkukuh perpaduan antara kaum terus dipelihara tanpa wujudnya per­sengketaan pada masa depan?

Langkah itu adalah menerusi Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) untuk mahasiswa bumiputera dari institut pengajian tinggi awam dan mahasiswa bukan bumiputera dari institut pengajian tinggi swasta.

Program itu akan menggalakkan pusat pengajian tinggi menghantar pelajar mereka melakukan latihan industri di syarikat-syarikat yang bertentangan dengan kaum masing-masing. Contohnya pelajar bumiputera membuat latihan di syarikat yang majoriti bukan bumiputera dan pelajar bukan bumiputera di syarikat milik bumiputera.

Tujuannya adalah mahu pelajar-pelajar ini memahami tentang adat resam, budaya, amalan agama, cara hidup antara kaum dan paling utama memahami erti pentingnya perpaduan.

Apakah harapan Tan Sri untuk melihat rakyat negara ini bersama-sama menghormati Rukun Negara dan mendukung cita-cita perpaduan serta semangat cintakan negara?

J: Menurut laporan indeks keamanan sedunia oleh Institute For Economics and Peace, Sydney, Australia, Malaysia berada pada kedudukan ke-29 daripada 163 buah negara paling aman di dunia pada tahun 2017.

Jadi keadaan itulah yang perlu kita pertahan dan juga pertingkatkan, untuk ke arah itu, kita mesti menjadi bangsa Malaysia yang matang, bertolak ansur dan mengutamakan kepentingan serta perpaduan negara.

Mukadimah APABILA ditanya mengenai prinsip Rukun Negara, mungkin ada dalam kalangan rakyat yang tidak mengingatinya, apatah lagi untuk menghayatinya. Hakikatnya lima prinsip itu harus dihayati oleh rakyat pelbagai kaum. Ia bukan sekadar menjadi prinsip yang dicetak di bahagian belakang kulit buku sekolah.

Rukun Negara perlu sentiasa dihayati dan dihormati setiap individu ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.

Bagaimana untuk menggalakkan rakyat menghayati Rukun Negara dan menjadikannya terus relevan, wartawan Utusan Malaysia MUZDALIFAH MUSTAPHA dan jurugambar RASHID MAHFOF menemu bual Menteri di Jabatan Perdana Menteri, TAN SRI JOSEPH KURUP selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.