Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, MQA merupakan agensi yang akan mengenal pasti semua program diakreditasi di universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi pada semua yang ingin melanjutkan pengajian kita menggalakkan mereka rujuk dengan MQA supaya tidak tertipu.

“MQA sudah membuat piawaian yang tinggi untuk tujuan tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai pembelian sijil kelayakan akademik dalam talian.

Semalam, Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI), M. Elajsolan mendedahkan kepada akhbar Sinchew Daily, beberapa universiti di luar negara seperti ‘kilang ijazah’ yang menawarkan ‘kelayakan akademik’ kepada pemohon tanpa memerlukan mereka mengikuti apa-apa pengajian.

Kata beliau, keadaan itu terutamanya berlaku dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat beroperasi dalam sebuah rumah kedai atau pejabat yang kecil. - UTUSAN ONLINE.