Menurutnya, beliau ambil maklum berhubung perkara itu dan menunggu laporan daripada RTM untuk tindakan selanjutnya.

Kenyataan itu dibuat berikutan pembantu kepada Menteri Pe­ngangkutan Anthony Loke Siew Fook, Lim Swee Kuan, yang mempersoalkan tindakan RTM kerana tidak menyi­arkan laporan mengenai menteri itu dalam liputan secara langsung sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa menteri yang lain.

Program sedemikian memang sepatutnya disiarkan secara langsung terutama Menteri Pengangkutan yang sangat dinantikan oleh orang ramai untuk mendengar ucapannya.

Pastinya orang ramai sanggup menunggu sehingga enam jam untuk mendengar ucapan menteri yang sangat tinggi tahap integritinya dan setiap patah perkataannya perlu diteliti kerana mempunyai nilai berita serta manfaat kepada rakyat.

Adalah tidak baik untuk menuduh Tindakan Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan sebagai sebagai angkuh.

Memanglah di zaman negara diperintah oleh Barisan Nasional tidak pernah ada siaran langsung menteri kecuali Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sahaja itupun bergantung kepada kesesuaian majlis, tetapi ini Malaysia Baharu, jadi ia perlu sejajar dengan aspirasi dan inspirasi rakyat yang mahukan keterbukaan RTM dan bukan hanya dijadikan sebagai alat propaganda kerajaan sebagaimana dahulu.

Rakyat kini sangat teruja dengan perubahan yang dibawa oleh para menteri yang sangat tinggi tahap wibawanya.

Teruskan usaha murni yang dilakukan, walaupun mendapat tentangan dalam kalangan pengamal media yang mewarisi pemikiran lama, tetapi akhirnya mereka perlu akur kepada kehendak rakyat. - UTUSAN ONLINE