Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini seba­nyak 600 veteran ATM akan menerima manfaat menerusi tahun pertama pelaksanaan program yang dianjurkan kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia itu.

“Ia merupakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Kementerian Sumber Manusia yang me­nyasarkan 1,000 peserta sebagai permulaan. Kita mahu menyum­bang kepada sasaran 35 peratus pekerja tempatan mahir pada 2020.

“Apa yang penting, penga­la­man, pengiktirafan, pe­nge­­­­­tahuan dan kemahiran me­reka akan mendapat pengiktirafan mene­rusi sijil tahap empat dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Terdahulu, Hishammuddin dan Richard Riot menyaksikan Majlis Pelancaran dan Memeterai Memo­randum Persefahaman (MoU) RPEL antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Pemba­ngunan Sumber Manusia Berhad (PMSB).

Hishammuddin menambah, Persatuan Veteran ATM (PVATM), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Perhebat perlu bekerjasama dalam memberi maklumat berkaitan program RPEL kepada veteran ATM.

Sementara itu, Richard Riot berkata, kerjasama itu turut mendapat pengiktirafan pelbagai agensi dalam dan luar negara selepas dua tahun ia diperkenalkan.

“Kita turut menjalankan kerjasama dengan Cardiff and Vale College (CAVC) dan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta dikawal selia oleh PMSB.

“Sebab itu kita mahu lebih ramai golongan ini menyertai program RPEL. Ia secara tidak langsung memberi mereka peluang untuk ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.