Anugerah yang julung-julung kali diperkenalkan itu adalah bagi menghargai jasa dan bakti tokoh-tokoh wanita negara terhadap pembangunan sosioekonomi dan kualiti kehidupan rakyat di negara ini.

Sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah menerajui pucuk pimpinan pelbagai persatuan termasuk Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam Kempen Tabung Hari Pahlawan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Dengan berpegang teguh kepada prinsip bahawa pembangunan modal insan bermula dengan anak-anak yang merupakan pelaburan penting kepada negara, Rosmah telah mencetuskan idea untuk mengilhamkan Program Permata Negara yang berteraskan ‘setiap anak permata negara’.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapannya ber­kata, beliau berasa sangat terharu dan berbesar hati di atas penghargaan tersebut.

“Penglibatan saya dalam Program Permata Negara serta prog­ram-prog­ram berkaitan wanita se­me­mang­nya amat dekat di hati saya.

‘‘Sesungguhnya, penglibatan ini lahir dari hati yang ikhlas untuk menabur jasa bakti kepada generasi muda kita yang menjadi perintis kepada kepemimpinan negara.

“Saya berharap penganugerahan ini juga akan memberi perangsang kepada wanita-wanita lain untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Bercakap mengenai majalah Wanita yang kini berusia 48 tahun, Rosmah berkata, majalah tersebut terbukti dapat mendidik minda kaum hawa untuk menjadi lebih ke hadapan serta melahirkan para wanita yang berintelek dan peka dengan persekitaran dengan laporan berita eksklusif, terkini serta berinspirasi.

“Dengan paparan informasi yang berkualiti dalam pelbagai bidang, pengisian majalah Wanita dilihat lebih holistik menjadikannya sebuah majalah yang sesuai untuk dibaca oleh masyarakat pelbagai bangsa dan usia.

“Ibarat usia mematangkan minda, kemampuan majalah Wanita untuk bergerak progresif sejajar dengan peralihan masa dan terus kekal relevan merupakan satu indikator bahawa majalah ini mempunyai ‘faktor X’ dalam mengatasi terbitan lain di pasaran,” katanya.