Pemain 28 tahun itu turut menyelar badan induk yang membuat peraturan dengan hanya mengenakan denda kecil ke atas kelab dan negara yang gagal mengawal penyokong mereka.

“Sudah cukup... saya hanya ada lima atau enam tahun lagi dalam bola sepak dan saya tidak sabar untuk mengakhirinya, melihatkan apa yang berlaku dalam permainan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Rose mengakui dia sudah menjangkakan akan menerima ejekan berbaur perkauman ketika England menentang Montenegro dalam aksi Euro 2020 bulan lalu.

Dalam kemenangan 5-1 England di Podgorica itu, Callum Hodson-Odoi dan Rose diejek dengan bunyi monyet sebelum rakan sepasukan yang juga berkulit hitam, Raheem Sterling meraikan jaringan dengan meletakkan tangan di telinganya.

Sterling kemudian memuat naik status dengan berkata: “Cara terbaik untuk menutup mulut pembenci (saya maksudkan mereka yang bersifat perkauman)”.

Menurut Rose hukuman terlalu lemah menjadikan penyokong tidak serik untuk menghina pemain-pemain.

“Terlalu banyak politik dan perkara lain dalam bola sepak dan secara jujurnya tidak sabar untuk bersara.

“Ia amat menyedihkan kerana negara-negara hanya didenda dengan jumlah apa yang saya belanjakan semalaman di kota London,” kata pertahanan Tottenham itu. – AFP