HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyifatkan pelaksanaan Rondaan Udara Tiga Negara (TAP) serta Rondaan Maritim Tiga Negara (TMP) itu sebagai satu peristiwa yang amat bersejarah.

Malah, menurut beliau, koordinasi antara ketiga-tiga negara itu dalam mengawal Laut Sulu daripada ancaman keganasan adalah sesuatu yang amat membanggakan dan turut mendapat perhatian dunia.

‘‘Daesh yang mengumumkan kewujudan wilayah mereka di kawasan yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina sentiasa mengintai peluang untuk bertapak di rantau ini, jus­teru usaha menanganinya harus dilakukan secara berterusan,’’ katanya semasa menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar bagi Kementerian Pertahanan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam sesi waktu pertanyaan menteri, Hisham­mud­din memberitahu, kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan pelarasan pencen bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini kerana langkah tersebut akan melibatkan penjawat awam lain serta membawa implikasi kewangan yang besar.

Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan telah memper­kenalkan beberapa insentif lain seperti Bantuan Bakti Negara, Skim Anuiti Veteran, kenaikan Skim Hilang Upaya Veteran dan Bayaran Insurgensi Khas kepada veteran yang hilang upaya sebelum tahun 2001.

‘‘Kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) akan terus merancang untuk memberikan pelbagai bentuk bantuan untuk veteran sama ada yang berpencen dan tidak berpencen dengan tumpu­an khas kepada usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan itu,’’ katanya ketika menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) berhubung penyelarasan pencen pesara ATM.

Beliau menambah, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan terhadap skim gaji ATM sejak 1 Ogos 1968 dan kadar pencen pesara ATM turut diselaraskan apabila skim gaji baharu diperkenalkan pada 2013.

“Contohnya, pesara ATM berpangkat Pegawai Waran 1 yang bersara pada tahun 1978 dengan gaji semasa sebanyak RM1,120 menerima pencen sebanyak RM560, walau bagaimanapun selepas beberapa kali penyelarasan dilakukan, pencennya pada 2017 adalah sebanyak RM1544.75,’’ jelasnya.