Rombongan kali ini disertai oleh 11 jemaah yang terdiri daripada penggiat seni dan bekas atlet kebangsaan.

Sebelum ini, kumpulan pertama yang turut diberi peluang yang sama terdiri daripada 30 jemaah yang juga penggiat seni.

Program Umrah Penggiat Seni ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan penggiat seni dalam majlis berbuka puasa di kediaman beliau di Seri Perdana, Putrajaya, tahun lalu.

Menurut Pengerusi Eksekutif YPU, Datuk Rizal Mansor, pihak­nya bersyukur dan gembira kerana niat untuk membawa golongan seni dan ahli sukan ke Tanah Suci buat kali kedua dipermudahkan.

“Sebelum ini, kita hanya meng­hantar penggiat seni sahaja tetapi bagi program ini YPU menggabungkan artis dan juga mereka yang terdiri daripada ahli sukan pula.

“Kami cuba membawa seramai yang boleh tetapi terdapat beberapa kekangan lain, namun kami puas kerana masih dapat meneruskan program ini,” kata Rizal kepada Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa melepaskan peserta Program Umrah Penggiat Seni.

Program Umrah Penggiat Seni turut disertai wartawan Utusan Malaysia, Nor Asikin Hassan.

Salah seorang daripada artis terkenal yang menyertai program ini, Amir Ukays memanjat kesyu­kuran kepada Allah kerana memperoleh peluang ke Tanah Suci yang ditawarkan oleh YPU.

Menurut Amir, tiada apa yang menggembirakannya selain dapat menjadi tetamu Allah dalam kunjungan kali pertamanya.

“Ini adalah umrah pertama untuk saya dan saya sangat terharu dengan kesempatan. Saya pasti akan mendoakan yang terbaik untuk diri saya, keluar­ga dan tak ketinggalan untuk Perdana Menteri dan Malaysia sendiri,” katanya.

Turut berkongsi perasaan yang sama ialah pelakon Rashidah Jaafar yang memberitahu tidak akan melepaskan peluang untuk menggandakan ibadat apabila berada di Mekah dan Madinah memandangkan ini kali pertama beliau dapat berkunjung ke sana.

Antara artis yang lain yang turut menyertai rombongan ini ialah pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajuddin, Masitah Md. Isa sementara ahli sukan yang juga diundang oleh YPU dalam program ini ialah bekas pemain bola sepak, Syed Ahmad Abu Bakar.