Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam kejadian pu­kul 9 malam di Pangkalan Nela­yan di Sungai Nipah, Lukut, Negeri Sembilan itu, semua suspek bagaimanapun me­larikan di­ri ke kawasan hutan berdekatan.

“Pihak polis bertindak berdasarkan maklumat awam. Hasil pemeriksaan menemukan dua lori muatan tiga tan, sebuah bot pancung serta empat bot enjin sangkut.

“Rampasan kenderaan darat dan laut menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM2.1 juta. Terdapat lebih 10 suspek terlibat ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar mengenai ke­­jayaan rampasan tersebut di Markas Taktikal (Martek) Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Kuala Linggi dekat sini hari ini.

Sementara itu, Khon Chiang memberitahu, pihaknya percaya rokok seludup berkenaan adalah bagi pasaran tempatan terutama di kawasan Semenanjung.

“Kita masih menyiasat sama ada kenderaan berkenaan me­ru­pakan milik syarikat atau per­sendirian. Kita percaya rokok itu adalah dari negara jiran.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan sebegini supaya tindakan boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Khon Chiang turut memaklumkan kes tersebut melibatkan kumpulan yang lain dengan sindiket sebelum ini di kawasan sama ketika pihak polis marin menyerbu kawasan berkenaan pada Januari lalu.

“Kawasan itu memang sudah menjadi salah satu hotspot yang dipantau, malah terdapat lagi beberapa kawasan lain yang dilihat sebagai hotspot,” katanya.