Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat harus melihat perkara tersebut sebagai isu kemanusiaan tanpa melibatkan agama mahupun politik.


“Rakyat perlu sehati sejiwa dan sentiasa berada di belakang kerajaan kerana ini bukan melibatkan isu keagamaan tetapi kita perlu melihat dalam bentuk rangka kemanusiaan.


“Saya tidak rasa penganut agama lain tidak merasa simpati dengan isu keganasan ke atas etnik Rohingya kerana kebanyakkan komen di laman sosial semuanya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah Allahyarham Wan Mohd. Zamri Wan Zakaria, salah seorang jemaah haji yang meninggal dunia di Kampung Ketil di sini hari ini.


Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, isu penindasan terhadap etnik Rohingya juga akan menjadi salah satu agenda besar sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke White House minggu depan.


“Perdana Menteri akan menyampaikan pendirian kita apabila bertemu Presiden Donald Trump supaya Amerika Syarikat (AS) turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan tegas.


“Kita tidak boleh mempolitikkan semua perkara kerana hal ini melibatkan kemanusiaan dan keadilan sejagat ,” katanya. - UTUSAN ONLINE