Anifah Aman
Anifah Aman

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, sindiket-sindiket jenayah merentas negara dilihat akan mengambil kesempatan ke atas kesengsaraan manusia yang bera­da dalam situasi buruk.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa Myanmar untuk mendengar desakan berulang kali daripada masyarakat antarabangsa bagi menamatkan keganasan terhadap etnik berkenaan.

“Penyelesaian kepada isu kompleks pemerdagangan manusia memerlukan usaha-usaha kolektif oleh semua pihak. Dalam ke­adaan ini, delegasi kita melihat pendekatan yang digariskan dalam Deklara­si Politik menjadi asas baik dalam memacu ke depan.

“Malaysia berikrar untuk memberi komitmen yang teguh untuk bertindak tegas dalam usaha menghapuskan segera pemerdagangan orang. Demi kemanusiaan, kita tidak mempunyai pilihan selain untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ber­ucap pada Mesyua­rat Peringkat Tinggi berhubung Penilai­an Pelan Tindakan Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dalam Memerangi Pemerdagangan Orang di Ibu Pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat hari ini.

Menurut Anifah, Malaysia meletakkan keutamaan tinggi pada pemusatan kerjasama bilateral dan serantau dalam memerangi jenayah merentas negara.

Katanya, negara turut berazam ke arah itu berdasarkan pendekatan-pendekatan sedia ada dalam mendakwa pelaku dan memberi perlindungan kepada mangsa.

“Kita percaya kepada pendekatan yang komprehensif dengan penekanan yang lebih besar terhadap pencegahan terutama dalam menangani punca utama di negara-negara sumber,” katanya.