Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, pada masa sama, bagi menghentikan operasi penghapusan etnik Rohingya yang semakin meruncing, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu tersebut.

Katanya, ini supaya satu pelan tindakan yang melibatkan pelbagai pihak dapat dilulus serta dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Selain itu, kerajaan juga boleh memberikan kata dua kepada kerajaan Myanmar sama ada segera menamatkan penindasan ke atas Muslim Rohingya atau bersedia untuk menyambut kepulangan rakyat mereka yang kini berada negara ini.

“Kita juga boleh menganjurkan mesyuarat tergempar negara-negara umat Islam yang mengambil berat isu Rohingya seperti Turki, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lainnya supaya mewujudkan Pasukan Pengaman dan menghantarnya ke Myanmar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia hari ini menghantar satu misi bantuan bersepadu diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendukung semangat ‘Negaraku Prihatin’ sebagai manifestasi bantahan sekeras-kerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya. - UTUSAN ONLINE