Rohana dinaikkan pangkat daripada Komander ke Kepten dalam majlis pemakaian pangkat yang berlangsung di KD Sri Gombak, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Kenaikan pangkat Rohana merupakan satu sejarah kerana pangkat Kepten yang disandang beliau bersamaan dengan pangkat Kolonel bagi tentera darat dan layak mengetuai kapal utama dan pangkalan di darat.

Majlis itu juga menyaksikan pengiktirafan TLDM ke atas anggota wanita Lain-Lain Pangkat (LLP) melalui pelantikan Pegawai Waren I, Ratnawati Muhammad sebagai Pegawai Waren Markas Udara TLDM pada 11 Oktober lalu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudian, Ahmad berkata, TLDM sentiasa mengiktiraf peranan kaum wanita dan tidak menafikan sumbangan mereka dalam perkhidmatan selama ini.

“Wanita sentiasa diberi ruang dan peluang secukupnya bagi membuktikan keupayaan mereka dalam perkhidmatan TLDM.

“Peranan kaum wanita juga dianggap sama penting dengan anggota lelaki dan mereka turut berpeluang untuk memegang jawatan tinggi sekiranya didapati benar-benar memiliki kelayakan,” katanya.

Dalam pada itu, Rohana ketika ditemui berkata, beliau amat terharu dengan penghargaan dan kepercayaan TLDM terhadapnya apabila memberi peluang kepada beliau untuk menjawat jawatan tersebut.

“Penganugerahan jawatan Kepten kepada saya bererti TLDM kini terbukti memberi ruang dan peluang yang secukup­nya kepada para pegawai dan anggota LLP wanita untuk menjawat jawatan penting dalam perkhidmatan yang dahulunya hanya didominasi oleh kaum lelaki.

“Pemakaian pangkat Kepten juga bermakna amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh saya bertambah berat tetapi ini tidak akan menjadi alasan kepada saya untuk terus memberi khid­mat terbaik buat pasukan dan tanah air tercinta,” katanya.

Dalam majlis yang sama, TLDM turut meraikan kejayaan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Yong Wei Chung yang dipilih sebagai Pegawai Kadet Laut Terbaik dan bakal melanjutkan pelajaran ke Akademi Pasukan Pertahanan Australia di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP).