Ujar anak kelahiran Kampung Kiau itu lagi, kekuatan menerima kehilangan Robbi itu sentiasa tersemat di sanubarinya bagi menyokong emosi isteri tersayang, Noimei Sakombang, 58, yang sehingga kini sukar menerima ketentuan takdir.

“Di setiap dinding rumah kami tiada tergantung gambar mendiang ekoran emosi isteri saya yang tidak dapat menerima kehilangan Robbi. Kami hormati perasaannya dan gambar Robbi hanya disimpan di dalam album.

“Jiran juga maklum dan tidak akan bercerita mengenai Robbi di hadapan isteri kerana air matanya pasti akan menitis secara tiba-tiba.

“Malah, apabila saya memberi­tahu bahawa ada wartawan yang ingin menemubualnya, dia enggan dan segera mengambil peralatan menuju ke kebun untuk melihat hasil tanaman,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah rakannya di Kampung Kiau, di sini baru-baru ini.

Pada 5 Jun 2015, Robbi yang merupakan malim gunung antara 18 individu yang terkorban akibat runtuhan batu besar dalam kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, di sini.

Menceritakan lebih lanjut, Sa­pinggi berkata, antara sebab dia berupaya mengawal perasaan ekoran kehilangan Robbi adalah hasil kaunseling yang diikuti selain pergaulan bersama rakan sebaik sahaja mempunyai masa lapang.

“Namun, kadangkala saya gagal juga mengawal emosi dan akan melawat kubur mendiang yang terletak kira-kira 500 meter tetapi bersyukur kerana rakan-rakan sentiasa ada untuk bergurau serta bercerita,” katanya yang telah menjadi malim gunung lebih 40 tahun.

Desakan anak-anaknya supaya dia berehat dan menghabiskan masa di rumah tidak diendahkan sebaliknya, kata beliau, keseronokan menjadi malim gunung sukar dimengerti oleh orang lain.

Sapinggi memberitahu, sejak aktiviti pendakian dibuka se­m­u­­la pada Disember lalu, dia pasti teruja jika mendapat tempahan untuk menjadi malim membawa pendaki ke gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

“Saya seronok kerana dapat berhenti di kilometer 6.5 untuk bertafakur kerana lokasi itu me­ru­­pakan tempat kematian Robbi. Saya bertafakur pun tidak lama hanya dalam dua hingga tiga minit sebelum meneruskan pendakian bersama pendaki lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sapinggi ber­ka­ta, dia selalu menasihati dua lagi anaknya yang juga berkhidmat sebagai malim gunung supaya sentiasa membuat penera­ngan kepada kumpulan pendaki yang dibawa selain tidak berhenti rehat di lokasi berbahaya.

Sapinggi Ladsau melawat kubur anaknya, Robbi Sapinggi yang terkorban semasa gempa bumi di Gunung Kinabalu setahun lalu.