Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan itu perlu diletakkan di barisan hadapan dalam semua aspek terutama menjadi usahawan baharu bagi industri pertanian berasaskan agro makanan.

Justeru beliau berkata, Road To MAHA bukan sahaja untuk memperlihatkan keberadaan wanita sebaliknya yang lebih penting produk yang dihasilkan bukan semata-mata untuk pasaran tempatan tetapi diperluaskan di peringkat antarabangsa.

"Tentunya slogan 'Segalanya Wanita' pada kali ini bukan hanya sekadar 'tagline' dan MAHA juga bukanlah majlis keraian sebaliknya kita mahu ia menjadi medium untuk mempromosikan peranan golongan berkenaan di dalam industri.

"Jika potensi ini dapat digali dan berikan peranan penting untuk wanita, saya yakin MAHA kali ini bukan sahaja mencatatkan kehadiran 3.7 juta pengunjung tetapi lebih 4 juta pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan program Road To Maha 2018 Zon Utara di Dataran Menara Condong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan. - UTUSAN ONLINE