Dengan berlokasi di sebelah Menara Condong Teluk Intan, program MAHA 2018 di sini dijangka mampu menarik 25,000 pengunjung untuk kedua-dua hari bermula hari ini dan esok.

Tinjauan Utusan Online mendapati, seramai 100 usahawan tempatan mengambil bahagian dalam acara tersebut dan pelbagai produk ditawarkan kepada pengunjung dengan harga yang sangat menarik.

Bermula daripada tumbuh-tumbuhan, baja, makanan ringan, ayam, ikan sehinggalah kepada buah-buahan seperti nenas dan mangga.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melancarkan Program Jimat Belanja Dapur sempena Road To MAHA 2018 bagi zon utara.

Dalam ucapannya, Tajuddin amat berpuas hati dengan produk-produk yang dikeluarkan usahawan tempatan dan wajar diberi bimbingan untuk terus menjadi yang terbaik.

“Saya telah banyak kali ke luar negara. Jika ditanya soal pembungkusan dan pelabelan produk tempatan kita, saya dapati ia adalah setaraf dengan produk negara luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE