Berikutan itu, Kementerian Pendidikan segera memberi respon dan menasihatkan mana-mana keluarga yang anak mereka tidak layak menerima RMT agar mengemukakan rayuan di sekolah masing-masing.

Persoalannya kini, mengapa perlu mengurangkan lagi jumlah penerima bantuan tersebut di kala ramai keluarga pada masa ini sedang dihimpit masalah kos sara hidup khususnya bagi mereka yang mempunyai anak ramai.

Malah seperti dimaklumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusof, ramai ibu bapa merungut apabila mendapati anak mereka sudah tidak lagi menerima bantuan RMT.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menambah baik sistem dan struktur bantuan tersebut, bukannya dengan mengambil tindakan mengurangkan jumlah penerima.

“Sepatutnya peruntukan untuk golongan memerlukan ini ditambah selain tidak menyukarkan proses penyalurannya. Di Kedah sendiri, ramai ibu bapa merungut apabila anak mereka sudah lagi tidak mendapat bantuan tersebut.

“Sejak akhir-akhir ini, saya lihat banyak bantuan untuk kepentingan rakyat dipotong sedikit demi sedikit dan perkara seperti ini tidak berlaku pada zaman kerajaan terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Shahanim, tugas kerajaan adalah menjaga kebajikan rakyat dan bukannya menyusahkan lagi hidup mereka.

“Saya harap kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menggugurkan mereka yang menerima RMT sebelum ini. Jangan sukarkan rakyat lagi termasuk meminta mereka melakukan rayuan.

“Jangan lah potong peruntukan untuk anak-anak ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE