Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu merupakan satu usaha kerajaan bagi menghargai usaha petani, peladang dan penternak yang dilihat sebagai pejuang negara atau wira tak didendang.

“Kerajaan meluluskan peruntukan secara one-off sebanyak RM30,000 kepada setiap pertubuhan peladang dan nelayan kawasan yang melibatkan dana sebanyak RM7 juta dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

“Dana itu akan diagihkan kepada kira-kira sejuta peladang, penternak dan petani yang akan menerima manfaat daripadanya. Dana ini dapat menyegarkan lagi kepimpinan di setiap kawasan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) 2017 di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Saipolbahri Suib. - UTUSAN ONLINE